Orang ramai yang menggunakan silinder atau tong gas perlu mempunyai pengetahuan asas bagi mengelakkan sebarang kecelakaan sehingga mendatangkan kecederaan.
Dalam beberapa episod kebakaran yang membabitkan tong gas, kejadian boleh dielakkan sekiranya pengguna mengetahui beberapa perkara asas ketika menggunakan bahan mudah terbakar itu atau dikenali sebagai Gas Petroleum Cecair (GPC).
Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas, Hati berkesempatan menemu bual Pengarah Urusan Rompin Enterprise Sdn Bhd Datuk Chew Kam Tu yang sudah 16 tahun menjadi pengedar gas memasak PETRONAS selain dipanggil menyampaikan ceramah berkaitan keselamatan gas di rumah.
Katanya, ia bermula dengan tabiat pengguna itu sendiri yang gagal mematuhi aspek keselamatan selain kurang peka cara menggunakan silinder GPC dengan betul.
“Ada pengguna pula agak berkira untuk mengeluarkan bajet bagi membeli alat atur (regulator) atau hos penyambung berkualiti yang disahkan oleh SIRIM sebaliknya membeli aksesori tanpa pengakuan daripada pihak berkaitan.
“Secara umumnya, alat atur boleh digunakan selama lima tahun dan ia perlu ditukar dengan yang baharu tidak kira sama ada ia masih dalam keadaan baik. Hos pula perlu ditukar setiap dua tahun sekali.
“Kebanyakan pengguna gagal mematuhi perkara asas ini memandangkan tidak mahu mengeluarkan belanja lebih malah ada yang berpendapat selagi boleh digunakan, gunakan sahaja,” katanya.
Chew berkata, aspek lain yang perlu diberi penekanan adalah penggunaan hos plastik lut sinar diperbuat daripada plastik yang tidak menepati piawaian SIRIM dan Bristish Standard sehingga menjadi punca kebakaran.
Katanya, PETRONAS sangat menggalakkan pengguna gas memasak keluarannya menggunakan hos getah BS3212 yang diperbuat daripada getah bermutu tinggi (getah rintang api) yang bukan saja tahan lasak dan tahan tekanan malah tidak mudah dimamah api.
“Ramai yang memberitahu apabila menggunakan hos lut sinar mereka boleh lihat gas dan berasa ia lebih selamat. Namun pendapat ini tidak benar sama sekali kerana GPC tidak berwarna.
“Sebenarnya hos lut sinar yang tidak tahan api dan tidak mampu menyerap tekanan tinggi ketika gas disalurkan ke dapur memasak dan mudah bocor boleh menjadi punca berlaku kebakaran,” katanya.
Mr. Chew tunjukkan cara memasang hos gas yang betul
Ketahui Perkara Asas:
Chew berkongsi beberapa perkara asas yang perlu diketahui apabila berlaku kebocoran gas iaitu:
Jangan memetik mana-mana suis elektrik (tutup atau pasang) yang ada di dalam rumah. Kebiasaannya pengguna dimaklumkan supaya tidak menyalakan api sahaja sedangkan mereka tidak mengetahui memetik suis juga boleh menjadi punca kebakaran disebabkan pengumpulan gas terutama di ruang tertutup.
Kebocoran gas yang dikesan terutama pada sebelah malam akan menyebabkan pengguna perlu menghidupkan suis lampu tanpa menyedari ia satu tindakan yang berbahaya termasuk menggunakan telefon bimbit.
2. Paling penting, buka tingkap atau pintu bagi membolehkan peredaran udara berlaku sekali gus mengelakkan kebakaran sehingga mendatangkan kecederaan.
3. Jangan tinggalkan dapur ketika memasak. Ramai orang kerap memasak kerap meninggalkan dapur ketika memasak sehingga terlupa apa yang dimasak. Ini juga merupakan antara penyebab berlaku kebakaran. Jadi, jika memasak pastikan anda sentiasa berada di dapur.
4. Pastikan ketika memasak ruang dapur mempunyai aliran udara yang baik. Buka tingkap dan pintu bagi membolehkan pengedaran udara berlaku dengan baik. Kebakaran berlaku apabila gas yang bocor terlalu banyak berkumpul di dalam ruang tertutup.
5. Pengguna juga dinasihatkan untuk mencabut alat atur apabila tidak menggunakan gas kerana gas di dalam silinder sentiasa bergerak ke dapur malah menyebabkan berlaku tekanan pada hos dan juga klip penyambung pada dapur dan hos
Lakukan Permeriksaan Sendiri:
Chew berkata, tong gas hanya akan meletup apabila suhu persekitaran mencecah 1,000 darjah Celsius malah dalam beberapa kebakaran yang turut dikajinya mendapati ia lebih disebabkan kecuaian manusia.
Setiap tong gas melalui proses kawalan yang ketat sebelum diedarkan kepada pengguna dan tong gas berkenaan tahan lasak serta mampu bertahan sehingga 10 tahun.
GPC disimpan sebagai cecair di bawah tekanan dan setiap silinder hanya diisi 85 peratus GPC manakala ruang selebihnya digunakan untuk pengembangan atau pengewapan GPC.
“GPC mempunyai sifat tidak berwarna dan berbau, pembau Ethyl ditambah bagi memberi bau lazimnya dalam bentuk wap dan mempunyai takat didih yang sama dengan GPC. Ia lebih berat daripada angin, ringan daripada air.
“Saya juga sangat menggalakkan pengguna mendapatkan khidmat pemeriksaan daripada pengedar sah supaya tahap keselamatan gas memasak dapat dipastikan dengan sempurna. Jangan berkira sangat dengan bajet kerana keselamatan adalah lebih penting.
“Selain itu lakukan pemeriksaan sendiri secara berkala bagi memastikan alat atur, hos getah dan klip penyambung dalam keadaan baik. Saya juga sangat menggalakkan setiap rumah ada alat pemadam api sebagai langkah keselamatan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 2:40 PM