Search

Persekitaran ruang dapur banyak lipas


CHEW menunjukkan hos penyambung yang sensual digunakan

Jika di persekitaran ruang dapur anda terdapat banyak lipas, awas! Berkemungkinan ada berlaku kebocoran terhadap gas memasak anda sama ada pada bahagian dapur, hos penyambung atau alat atur (regulator).


Ini kerana Gas Petroleum Cecair (GPC) tidak berwarna dan berbau namun kemudian dicampur dengan bahan 'Ethyl Mercaptan' bagi membolehkan kita dapat menghidu sekiranya terdapat kebocoran.


Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas, Harian Metro berkesempatan menemu bual pengedar gas memasak Petronas berpengalaman selama 20 tahun yang juga Pengarah Urusan Rompin Enterprise Sdn Bhd, Datuk Chew Kam Tu di pejabatnya di Bahau, Negeri Sembilan.


Katanya, amat penting bagi pengguna sentiasa memastikan peralatan gas memasak berada dalam keadaan selamat.


Chew berkata, serangga seperti lipas amat menyukai bau yang dihasilkan daripada kebocoran gas memasak sama ada di rumah atau restoran.


"Kita ada kalanya mempunyai sikap ambil mudah terhadap faktor keselamatan, malah tidak kisah membeli hos penyambung dan alat atur murah tanpa mempunyai pengesahan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).


"Hos penyambung lut sinar tidak sesuai digunakan kerana tidak berkualiti selain mempunyai tahap keselamatan seperti tidak tahan panas dan mudah dirosakkan serangga.


"Begitu juga dengan alat atur, ada yang sanggup membeli peralatan tanpa pengesahan Sirim memandangkan ia lebih murah, sekali gus mengabaikan aspek keselamatan," katanya.


Chew berkata, alat atur boleh digunakan sehingga lima tahun dan ia perlu ditukar baharu tidak kira sama ada masih dalam keadaan baik. Hos pula perlu ditukar setiap dua tahun sekali.


Katanya, kebanyakan pengguna gagal mematuhi perkara asas ini dan terus menggunakannya sehingga terdedah kepada bahaya tanpa disedari.


"Hos lut sinar dibuat daripada plastik yang tidak menepati piawaian Sirim dan boleh menjadi punca kebakaran.


"Petronas sangat menggalakkan pengguna gas memasak menggunakan hos getah yang diperbuat daripada getah bermutu tinggi (getah rintang api) yang bukan sahaja tahan lasak dan tahan tekanan, malah tidak mudah dimamah api," katanya.



ALAT atur yang mendapat kelulusan SIRIM sahaja perlu digunakan pada gas silinder memasak

Chew berkata, selain pengetahuan asas menggunakan gas memasak, pengguna seharusnya tidak melakukan kecuaian sehingga boleh menyebabkan berlaku kebakaran.


Katanya, ramai pengguna tidak menutup alat atur apabila tidak menggunakan gas kerana gas dalam silinder sentiasa bergerak ke dapur, malah boleh menyebabkan berlaku tekanan pada hos dan klip penyambung pada dapur serta hos.


Justeru itu katanya, aspek berkenaan perlu diberi perhatian apatah sekiranya meninggalkan rumah kerana kebakaran boleh berlaku pada bila-bila masa.


Selain itu, pengguna juga perlu memiliki pengetahuan apabila berdepan kebakaran berpunca daripada dapur memasak dan seterusnya merebak ke hos penyambung.

"Api yang tercetus akibat gas memasak boleh dipadam menggunakan tuala atau kain basah sekiranya di rumah tiada alat pemadam api yang sepatutnya.


"Jangan bimbang, tong gas tidak akan meletup sekiranya suhu tidak mencecah 1,000 darjah Celsius kerana dicipta untuk tahan lasak," katanya.


Setiap tong gas melalui proses kawalan yang ketat sebelum diedarkan kepada pengguna dan berdasarkan standard di negara ini, ia boleh diguna sehingga sembilan tahun manakala tambahan setiap tujuh tahun lagi perlu melalui proses pemeriksaan wajib bagi memastikan keadaan tong gas itu selamat.


Sekiranya dalam proses itu menemui kerosakan, tong berkenaan tidak dibaiki sebaliknya dilupuskan.


Chew berkata, sebagai pengedar, pihaknya turut diberi tanggungjawab oleh Petronas supaya memberi penerangan mengenai aspek penggunaan gas memasak dengan selamat kepada pengguna.



Abnor Hamizam Abd Manap

rencana@hmetro.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 6:30 AM

4 views

GASROMPIN

by

ROMPIN ENTERPRISE SDN BHD

rompinenterprise.bahau@hotmail.com

NO: 06-454 0888

WhatsApp only : 012-561 6658

©2020 GASROMPIN All Rights Reserve

 - High Efficiency Gas Ordering Platform in NS